Cara Mudah Melatih Anak Kecil Untuk Berpuasa Di Bulan Ramadan

Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Written by
|

Mendidik anak-anak untuk berpuasa di bulan Ramadan dari usia yang kecil boleh melatih dan membentuk diri dan peribadi mereka. Para ibu bapa mestilah bertanggung jawab untuk memupuk kesedaran dan minat anak untuk berpuasa.

Berikut cara-cara mudah yang boleh dipraktikkan supaya mereka faham kebaikan berpuasa dan seronok untuk melakukan amal ibadah ini. Semoga Allah SWT memudahkan niat ibu bapa untuk mendidik anak-anak kecil ini, in shaa Allah!

 1. Fahamkan Hikmah Berpuasa

Ceritakan kenapa kita perlu berpuasa dan kebaikan di sebalik bulan Ramadan dengan cara yang menarik. Gunakan kata-kata yang lemah lembut dan sesuai dengn umur untuk timbulkan rasa minat dalam diri anak. Jadikan mereka tertarik dengan amalan berpuasa dan teruja untuk melakukannya!

2. Terapkan Amalan Bersahur

Tetapkan waktu tidur anak supaya mudah untuk mereka bangun sahur. Sediakan juga makanan kegemaran mereka sambil mengutamakan kandungan gizi, karbohidrat dan nutrisi yang cukup. Jika boleh, jangan ‘skip’ sahur walaupun mereka mengantuk dan sukar untuk bangun!

3. Latih Secara Berperingkat dan Beri Semangat

Galakkan anak-anak kecil berpuasa secara perlahan-lahan, berperingkat dan jangan memaksa. Jika mereka betul-betul sudah tidak boleh menahan lapar, biarlah mereka berbuka. Akan tetapi, beri pujian, semangat dan katakan anda sangat berbangga dengan percubaan mereka. Puji mereka juga di depan ahli keluarga sewaktu berbuka atau ketika bersahur supaya mereka lebih bersemangat untuk berpuasa lagi!

4. Libatkan Dalam Persiapan Berbuka

Beri peluang kepada anak-anak untuk membantu dalam menyiapkan juadah berbuka puasa. Pelawa mereka untuk membantu di dapur (jika mereka mampu!) atau bawa mereka ke bazaar Ramadan.  Langkah-langkah kecil ini boleh memberi semangat dan membuat mereka teruja untuk terus berpuasa. Sekali-sekala, biarkan mereka memilih makanan kegemaran untuk menu juadah berbuka!

via GIPHY

5. Beri ganjaran atau hadiah

Hadiah permainan atau duit raya merupakan ganjaran yang boleh diberikan kepada anak-anak kerana berpuasa penuh. Selain mengajar mereka bahawa ganjaran sebenar dan yang lagi ‘best’ apabila berpuasa adalah ganjaran pahala dari Allah SWT, apa salahnya janjikan satu hadiah untuk usaha baik mereka? Pasti hati kecil mereka seronok dan terus semangat untuk berpuasa!

via GIPHY

 

 


Featured image: Upin Ipin

Skip to toolbar