Kaedah Rawatan Tradisional Bantu Atasi Rambut Gugur Hijabis

Written by
|

Pernah dengar pepatah rambut itu makhota wanita? Bertudung atau tidak, rambut gugur sering kali menjadi masalah yang dialami oleh kaum wanita tanpa mengira usia.

Ditambah pula, kecantikan individu khususnya wanita, tidak hanya diukur melalui penampilan wajah yang berseri, namun ia dinilai secara menyeluruh bermula daripada rambut sehingga ke hujung kaki.

Oleh sebab itu, kebanyakan kaum hawa di luar sana lama-kelamaan hilang keyakinan diri apabila rambut yang merupakan makhota mereka semakin menipis sehingga menampakkan kesan penuaan.

Lantaran itu, hijabis di luar sana perlu mengambil berat akan penjagaan rambut untuk tampil segar dan berseri selaras dengan fesyen atau busana yang hendak digayakan.

Justeru, Zilzar Life mahu kongsikan rawatan tradisional untuk merawat rambut gugur, seterusnya menyelesaikan masalah ini.

Berikut antara petua traditional yang boleh dicuba untuk mendapatkan rambut sihat dan mengurangkan masalah keguguran.

Lidah buaya

 

Manfaat luar biasa tumbuhan ini sememangnya diketahui sejak zaman berzaman untuk mengurangkan rambut gugur. Maka tidak hairan jika terdapat banyak produk penjagaan rambut menggunakan pati lidah buaya sebagai bahan utama.

Ambil daun lidah buaya, potong bahagian tengahnya dan ambil lendirnya. Lumur pada rambut hingga rata. Urut kulit kepala dan biarkan lima minit. Cuci rambut hingga bersih.

Minyak zaitun

 

Minyak zaitun ada banyak manfaat antaranya sebagai perawat semula jadi rambut bagi mengurangkan kerosakan akibat penggunaan produk perapi atau pewarna rambut yang mengandungi bahan kimia.

Sebaiknya gunakan minyak zaitun asli. Caranya campurkan dua sudu minyak zaitun dan minyak kelapa, sapu pada kulit kepala sebelum tidur.

Urut kepala selama 10 minit secara perlahan dan tutup rambut dengan topi mandi hingga pagi sebelum mencucinya menggunakan syampu yang lembut.

Minyak kelapa

 

Minyak kelapa dapat memberi nutrisi kepada rambut dari dalam sehingga mampu membuatkan rambut berkilat dan lebih sihat. Minyak kelapa adalah perapi semula jadi yang dapat mencegah pertumbuhan rambut rosak.

Untuk mengatasi rambut gugur, lumur minyak kelapa ke rambut hingga mengenai seluruh kulit kepala. Urut kulit kepala selama beberapa minit dan bilas. Mengurut juga membantu peredaran darah menjadi lebih lancar.

Avokado

Buah berkulit hijau dengan isi kekuningan ini mempunyai khasiat besar untuk membaiki kerosakan rambut. Ia bukan sekadar mengembalikan kilauan, memperkuat dan membaiki tekstur helaian rambut, malah mengubah rambut kusam menjadi lebih segar, beralun.

Caranya, lumatkan isi buah avokado bersama pisang. Sapu campuran ini ke kulit kepala dan urut supaya rata. Biarkan ia mengering selama setengah jam. Bilas dengan syampu. Setelah rambut kering, anda akan mula nampak rambut menjadi lebih tebal dan beralun.

Segala rawatan tradisional ini bukan sahaja boleh dilakukan oleh golongan berusia, namun juga sesuai untuk golongan remaja kerana semua kaedah ini tidak mempunyai kesan sampingan yang memudaratkan.

 

 

 

 

 

Skip to toolbar