Keistimewaan Bulan Rejab

Tingkatkan amalan anda di bulan yang mulia ini

Written by
|

Bulan Rejab merupakan bulan yang terbaik untuk menabur benih. Amalan pada bulan Rejab dapat meyucikan badan dan pahala amalan baik dalam bulan ini akan berlipat-ganda.

 

Antara fakta-fakta mengenai bulan Rejab ialah:

 

  • Bulan keampunan dan bulan bertaubat
  • Allah membalas amalan hambaNya di bulan Rejab sebanyak 70 kali ganda berbanding bulan yang lain
  • Sesiapa yang beristighfar pada waktu pagi dan malam sebanyak 70 atau 100 kali pada bulan Rejab, tubuh badannya diharamkan daripada api neraka.
  • Seseorang yang memuliakan bulan Rejab, maka Allah akan muliakannya dengan seribu kemuliaan di hari kiamat
  • Bulan Rejab adalah pembukaan kepada bulan kebaikan dan berkat.

 

 

Merujuk kepada surah At Taubah ayat 36, ada menyebut bahawa bulan ini termasuk dalam empat bulan suci dan mulia yang diharamkan berperang atau bersengketa sesama dalam Islam. Bulan Rejab merupakan bulan keamanan dan kedamaian.

Bulan Rejab juga merupakan permulaan bulan mulia dan bagi mempertingkatkan ibadat dan ketaqwaan, terutama melipat-gandakan amal soleh seperti bertasbih dan berpuasa sunat.

Rasulullah SAW bersabda: “Kembalilah kepada tuhan kamu dengan keampunan daripada dosa-dosa kamu dan hindarilah  perbuatan maksiat dalam bulan mulia iaitu Rejab.”

 

 

Berpuasa Sunat

 

www.pritikin.com

 

Berpuasa sunat dalam bulan Rejab adalah sangat dianjurkan kerana ia merupakan amalan sunnah Rasulullah SAW. Usman bin Hakim al-Ansari pernah berkata kepada Said bin Jubeir mengenai amalan berpuasa sunat pada bulan Rejab. Lalu Said menjawab:

“Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: Rasulullah selalu berpuasa sehingga kami menyangka baginda tidak pernah berbuka. Dan baginda juga selalu berbuka sehingga kami menyangka baginda tidak pernah berpuasa.”

(Hadis Riwayat Muslim)

 

Solat Sunat Taubat

 

 

Sucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun. Cara yang terbaik ialah dengan melakukan solat sunat taubat. Ibadah ini boleh dilakukan sebanyak dua, empat atau enam rakaat pada bila-bila masa yang dikehendaki.

Tips: Solat sunat taubat ini adalah lebih afdhal dilakukan pada waktu tengah malam dimana suasananya lebih sunyi dan tenang supaya anda berasa lebih khusyuk.

 

Membaca Al-Quran

 

aboutislam.net

 

Tingkatkan lagi ibadah anda dengan lebih kerap membaca Al-Quran kerana ini merupakan amalan golongan yang soleh. Perbanyakkan membaca Al-Quran boleh mengisi bulan Rejab sehingga tibanya bulan Ramadhan. Selain itu, amalan ini juga dapat meneguhkan jiwa dan keimanan seseorang hamba kepada penciptanya.

Tips: Amalkan membaca sekurang-kurangnya satu muka surat Al-Quran setiap kali selepas solat fardhu jika anda berkesempatan. Maka setiap hari anda akan dapat membaca 5 muka surat setiap hari.

 

Beristighfar

 

merdeka.com

 

Beristighfar juga merupakan amalan yang digalakkan bagi memohon keampunan dari Allah SWT atas dosa-dosa yang lalu. Cari peluang untuk beristighfar setiap hari dan sekerap mungkin bagi memperolehi keampunan daripada Allah SWT.

Tips: Curi masa untuk beristighfar walaupun ketika sibuk melakukan aktiviti harian anda; beristighfar sambil memandu ke kuliah atau tempat kerja, beristighfar sambil menunggu giliran beratur, atau beristighfar ketika berada di dalam pengangkutan awam menuju ke destinasi anda.

 

Bersedekah

 

azhan.co

 

Bersedekah juga adalah amalan yang sangat mulia dan disukai oleh Allah SWT. Bersedekah memerlukan anda untuk memaksa diri memberikan yang lebih menjangkaui kemampuan anda. Malah anda digalakkan untuk memberi mengikut kemampuan dan paling penting niat anda haruslah ikhlas.

Tips: Bersedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Anda boleh sedekahkan barang-barang lama anda yang masih lagi elok dan boleh digunakan kepada mereka yang lebih memerlukan contohnya buku-buku ilmiah, pakaian, dan kasut.

 

Beribadahlah pada bulan Rejab ini dengan bersungguh dan jauhkanlah diri anda daripada apa-apa perbuatan yang dilarang Allah SWT seperti maksiat, kata-kata kesat, dan sebagainya.

Demi memperolehi kesempurnaan pada penghujung bulan Rejab, anda haruslah memulakan ia dengan baik. Jadikan bulan Rejab ini sebagai bulan persediaan bagi menghadapi bulan Ramadhan yang akan datang dan penuhinya dengan amalan kebaikan.

Semoga kita sama-sama mendapat berkat dan rahmat dari Allah SWT pada bulan yang mulia ini. Amiin.

 

Ditulis oleh: Suraya Sidek

Sumber artikel: https://tazkirah.net/apakah-amalan-yang-sesuai-dilakukan-pada-bulan-rejab/

 

 

 

Skip to toolbar