Kunjungan ke Galeri Darurat Bukit Kepong Semai Semangat Patriotik

Written by
|

 

Mulut tidak mampu berucap, air mata menjadi pembuka bicara tatkala terkenang tragedi berdarah yang berlaku di Bukit Kepong walaupun hampir tujuh dekad peristiwa itu berlalu sejak 23 Februari 1950 di Muar, Johor.

Sempena menyambut kemerdekaan yang akan menjelang kelak, anda semua disyorkan untuk mengunjungi Galeri Darurat Bukit Kepong yang terletak di Muar, Johor. Pembinaan galeri darurat tersebut adalah sebagai mercu tanda sejarah serta ingatan kepada generasi akan datang mengenai perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan negara.

Bukan setakat itu sahaja, galeri tersebut dapat menjadi sumber rujukan kepada masyarakat khususnya generasi akan datang mengenai keganasan yang telah di lakukan oleh pengganas komunis pada 68 tahun lalu.

Dalam serangan berdarah itu, pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar semua bangunannya. Dalam pada itu, seramai 25 nyawa pejuang tanah air iaitu 19 anggota polis dan enam ahli keluarga serta orang awam juga terkorban.

Namun begitu, dalam pertempuran itu, anggota polis yang setia berkhidmat dan sedia berkorban demi mempertahankan tanah air tercinta, berjaya memberi tentangan hebat sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Menurut laporan Sinar Harian, pembinaan galeri tersebut adalah di atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Galeri Darurat Bukit Kepong pada 23 Februari 2017.

Tahukah anda, impian untuk membina galeri berkenaan sebenarnya bermula seawal 1999 dan ia telah mengambil tempoh kira-kira 17 tahun untuk disempurnakan.

 

Ditulis oleh: Fahmi Khairull

Skip to toolbar