Sejadah Seni Reka Kontemporari Qenza

Diilhamkan oleh ayat-ayat suci Al Quran

Written by
|

Kita sudah biasa dengan rekaan sejadah yang lazim di pasaran. Sekiranya diperhatikan, hampir semua sejadah yang digunakan oleh umat Islam di seantero dunia mempunyai rekaan konsep tipikal yang sama: masjid dan motif kerawang yang menandakan kesenian Islam.

Namun beberapa tahun yang lepas, Tasha Jalani, 32 telah mencipta transisi rekaan sejadah dengan menghasilkan sejadah bercorak kontemporari berilhamkan ayat-ayat suci Al-Quran dan mengasaskan jenamanya itu sebagai Qenza. Ianya bermula apabila beliau ke Turki buat pertama kalinya dan mulai faham mengapa sejadah sentiasa mempunyai rekaan yang sama. Menurut beliau, ini adalah kerana coraknya tidak pernah diperbaharui sejak kejatuhan Empayar Uthmaniah.

 

Permulaan Qenza

 

Sebelum memulakan karya untuk Qenza, Tasha telah melakukan penyelidikan dan merujuk individu yang bertauliah bagi memastikan penghasilan produknya dan juga perniagaannya tidak bercanggah di sisi Islam. Beliau berusaha mencari ahli-ahli falsafah Islam di Turki dan membuat kajian mengenai penciptaan sejadah sehingga akhirnya beliau menemui jawapan.

Tasha berkata, “Sejadah tidak semestinya mempunyai rekaan seperti yang sedia ada malah ketika zaman Rasulullah SAW, baginda dan sahabat-sahabatnya hanya menggunakan kain kosong atau daun sebagai alas untuk bersolat.”

 

Source: qenza.co

 

 

Inspirasi Qenza

 

Menurut pengasas kelahiran keluarga campuran Arab-Yaman dan Melayu ini, motif-motif alam lukisan tangannya itu diilhamkan daripada surah-surah kegemarannya seperti At-Tin, surah mengenai buah zaitun dan buah tin, dan surah An-Nam yang menceritakan tentang buah delima. Ilham tersebut dihadirkan kerana Tasha inginkan kelainan yang dapat dihayati oleh penggunanya, iaitu hubungan dengan Allah yang memberikan ketenangan ketika bersolat.

 

 

Source: www.instagram.com/ideashome.my

 

 

Beliau yang juga berkongsi idea bersama suaminya, Fozzil Jaffar merasakan bahawa penting untuk mereka menghasilkan rekaan yang memberikan makna. Oleh itu, mereka mula mengkaji ayat-ayat suci Al Quran dalam bentuk terjemahan untuk diolah dalam rekaan sejadah Qenza.

Sejadah di bawah merupakan salah satu koleksi Qenza. Rekaan sejadah yang bermotifkan corak terumbu karang itu merupakan inspirasi daripada sepotong ayat yang terkandung dalam surah Al-Kahf yang bermaksud, “Sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Rabbku, sungguh habislah lautan itu sebelum kalimat-kalimat Rabbku habis ditulis”.

 

 

Source: www.instagram.com/ideashome.my

 

 

Kualiti Material

 

Selain itu, kualiti material yang digunakan bagi pembuatan sejadah Qenza juga dititikberatkan bagi menjamin keselasaan para pengguna. Kebanyakan sejadah yang ada di pasaran mempunyai material licin yang menyebabkan kita mudah tergelincir apabila sedang beribadah.

Tasha memilih untuk menggunakan fabrik baldu yang lembut sebagai bahan utama pembuatan sejadah Qenza yang juga dilapiskan dengan getah busa supaya ia dapat memberikan keselesaan dalam pergerakan semasa solat. Corak rekaannya yang minimalis itu juga bertujuan untuk tidak terlalu meralitkan pandangan pengguna untuk ibadah yang lebih khusyuk.

 

Source: thepicta.com

 

Revolusi rekaan sejadah Qenza membuahkan hasil apabila pelanggannya bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia malah mendapat permintaan yang luas daripada umat Islam di seluruh dunia termasuk Brunei, Singapura, Arab Saudi, dan Australia.

 

Tasha percaya bahawa setiap cabaran yang hadir adalah pintu kepada rezekinya. Menurutnya, Qenza bermatlamat untuk bergelar jenama tersohor dalam pasaran antarabangsa bagi produk yang berteraskan seni reka kontemporari Islam yang memenuhi citarasa pengguna tanpa mengenal agama.

 

Sejadah ini boleh didapati secara online di laman web rasmi Qenza atau anda juga boleh kunjungi dan beli butik Twenty2, Bangsar atau Modvier Luxe, Kuala Lumpur.

 

Sumber imej featured: astroawani.com

Oleh: Suraya Sidek

 

Skip to toolbar