Tahun Baru Cina Disambut Buat Pertama Kali di Masjid

Masjid bukan hanya untuk orang Islam

Written by
|

Baru-baru ini, Masjid Jamek Tasek Gelugor buat pertama kalinya telah meraikan masyarakat Tionghua dengan mengadakan sambutan Tahun Baru Cina di perkarangan masjid tersebut.

 

Menurut pengerusi masjid, Khairul Anuar Musa, sambutan di masjid itu adalah bertujuan untuk membuka mata orang awam bahawa masjid bukan untuk orang Islam sahaja malah penganut agama lain juga boleh berhimpun di situ.

Sambutan ini menjemput semua masyarakat Cina yang tinggal berhampiran kawasan masjid tersebut dan telah mendapat maklum balas yang sangat baik sehingga ada yang mahu memberikan sumbangan.

 

Source: http://media.themalaymailonline.com/

 

Kira-kira 100 orang berbangsa Cina yang tinggal berhampiran Masjid Jamek Tasek Gelugor telah hadir dan memeriahkan majlis tersebut. Pihak jawatankuasa masjid juga menyediakan pelbagai jenis juadah istimewa serta beberapa program bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan masjid dan fungsinya kepada semua masyarakat.

 

Beberapa orang mualaf daripada masyarakat Cina yang tinggal di kawasan Tasek Gelugor juga telah dijemput ke majlis keraian itu. Ooi Chooi Beng, seorang mualaf yang berusia 36 tahun sebelum ini beranggapan bahawa masjid hanyalah untuk orang Islam sahaja dan tidak berani menghampiri masjid kerana anggapan tersebut.

 

Beliau yang baru sahaja memeluk agama Islam lebih kurang 6 bulan yang lalu bersyukur kerana dapat mempelajari tentang peranan masjid di majlis tersebut. Beliau yang juga teruja dengan kehadiran ibu-bapanya yang masih beragama Buddha berharap program pada hari tersebut menjadi titik tolak kepada program-program yang lain dalam mencari keredhaan Allah.

 

Source: http://www.thesundaily.my/

 

Seorang pengunjung bernama Tan Chooi Tit, 51, berasa terharu apabila menerima jemputan kerana selama ini tidak pernah ada majlis seperti itu disambut di mana-mana masjid. Menurut beliau, inisiatif Masjid Jamek Tasek Gelugor perlu dipuji kerana telah menghantar mesej yang positif kepada rakyat berbilang kaum di Malaysia.

 

Source: freemalaysiatoday.com

 

Gambar diatas menunjukkan ahli jawatankuasa Masjid Jamek Tasek Gelugor bergambar kenangan bersama masyarakat Tionghua pada Program Masjid Terbuka Sempena Tahun Baru Cina di masjid itu.

 

Beberapa pengunjung yang lain juga menyatakan keterujaan mereka kerana dapat hadir meraikan Tahun Baru Cina bersama-sama dengan masyarakat Melayu. Mereka juga bersetuju bahawa sambutan yang diadakan ini dapat merapatkan hubungan antara kaum dan masyarakat dapat saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain.

 

Featured image source: http://www.thesundaily.my/

By: Suraya Sidek

 

Skip to toolbar